Isnin 14 October 2019/ 15 Safar 1441H

SOALAN LAZIM

Jun 10 2016

Apa itu Program Rimbunan Kaseh ?
Program Rimbunan Kaseh merupakan salah satu pelan pembangunan transformasi luar bandar secara mampan melalui penyediaan rumah yang selesa dan dilengkapi kemudahan asas serta disokong dengan pelbagai aktiviti pertanian bernilai tinggi dan berteknologi moden. Program ini merupakan kerjasama strategik di antara sektor awam yang melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan agensi swasta yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar, mengimbangkan pertumbuhan ekonomi di antara kawasan luar bandar dan bandar disamping menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Rimbunan Kaseh adalah sebuah model komuniti yang melibatkan pembinaan 100 unit rumah melalui kaedah industrialised building system (IBS) dan pertanian bersepadu menggunakan kaedah modern integrated farming. Program ini dibangunkan di atas tanah berkeluasan lebih kurang 35 ekar dan dilengkapi prasarana seperti pusat pembelajaran, pusat sumber, surau, gerai dan kawasan rekreasi.

Di kawasan mana program ini dilaksanakan ?
Program ini dilaksanakan di semua negeri di seluruh negara dengan Kerajaan Negeri masing-masing bertindak sebagai agensi pelaksana. Ketika ini sebanyak 9 buah negeri menjadi perintis projek iaitu Pahang, Melaka, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak.

 

NEGERILOKASI
PAHANG Desa Rimbunan Kaseh, Tanjung Besar, Daerah Lipis.
JOHOR Punggai, Mukim Pantai Timur, Daerah Kota Tinggi.
MELAKA Lot 2909, Lot 2266 (Mukim Serkam) dan Lot 738 (Mukim Tedong), Daerah Jasin.
TERENGGANU Lot 527, Mukim Abang, Daerah Dungun
PERAK Tanjung Tualang, Kg. Gajah, Daerah Perak
NEGERI SEMBILAN Padang Ragut, Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan
SABAH Kampung Saga-Saga, Membakut, Daerah Beaufort.
SARAWAK RGC Sundar, Kampung Awat-Awat, Lawas.
PERLIS Chuping, Perlis

 

Bagaimana caranya jika saya berminat untuk menjadi peserta Program Rimbunan Kaseh ?
Setiap negeri mempunyai kriteria pemilihan peserta yang tersendiri yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri yang berkenaan. Walau bagaimanapun, calon peserta yang produktif terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar, mudah miskin, berpendapatan rendah dan ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan keluarga boleh juga diambil kira.

 

Pemantauan Bumiputera Sabah & Sarawak

Apakah terdapat sebarang jawatankuasa yang memantau pembangunan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah ICU JPM ?
Ya. Terdapat dua jawatankuasa telah diwujudkan untuk memantau bumiputera di Sabah dan Sarawak iaitu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Apakah skop pemantauan yang diberi tumpuan oleh jawatankuasa berkenaan terhadap pembangunan Bumiputera Sabah dan Sarawak ?
Skop pemantauan yang diberi tumpuan oleh jawatatankuasa berkenaan meliputi penyertaan Bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas, pendidikan dan kemiskinan.