Khamis 21 November 2019/ 24 Rabiulawal 1441H

SOALAN LAZIM

Jun 10 2016

BUKU BERTAJUK "MENGURUS EKSPEKTASI PENGURUSAN PROJEK AWAM - KONSEP, PRAKTIKAL DAN REALITI"

Apakah faktor yang mencetuskan idea penulisan buku "Mengurus Ekspektasi Pengurusan Projek Awam - Konsep, Praktikal Dan Realiti" ?
Idea bagi menerbitkan buku ini timbul susulan daripada keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Negara pada 13 Disember 2012 yang menyarankan supaya tahap kompetensi pegawai-pegawai awam yang menjalankan tugas-tugas pembangunan di kementerian/jabatan/agensi awam perlu dipertingkatkan melalui latihan dan kursus dalam bidang pengurusan projek awam. Memandangkan bahawa sebelum ini masih belum terdapat sebuah buku yang lengkap mengenai pelbagai bidang pengurusan projek awam, ICU JPM telah mengambil inisiatif menerbitkan buku yang komprehensif dan menyeluruh untuk dijadikan bahan rujukan pegawai-pegawai di Bahagian Pembangunan kementerian/jabatan/ agensi awam dan juga peserta-peserta kursus yang anjuran institusi-institusi latihan awam.

Apakah intipati kandungan buku ?
Buku ini adalah gabungan konsep pengurusan projek awam, pendekatan praktikal dan realiti di lapangan bagi menjelaskan bahawa pengurusan projek awam bukanlah satu proses yang mudah bagi menjayakannya. Ia memberikan perspektif yang menyeluruh mengenai tatacara pengurusan projek awam di Malaysia bermula daripada peringkat ideation, perancangan, peringkat pelaksanaan sehinggalah kepada peringkat penilaian outcome projek.

Apakah skop kandungan buku ini ?
Buku ini terbahagi kepada lima bahagian yang dipecahkan kepada dua belas bab merangkumi pengenalan kepada pengurusan projek, aktiviti-aktiviti utama yang terlibat di peringkat-peringkat pra pelaksanaan, pelaksanaan, pemantauan, penilaian outcome dan apparatus pengurusan projek. Selain daripada itu, terdapat dua bab khusus mengenai nilai dan etika kerja dan juga cabaran-cabaran dalam menguruskan projek-projek awam yang akan menjadi panduan kepada pegawai-pegawai pembangunan dalam menjalankan tugas mereka. Kajian kes yang terdapat dalam buku ini memberikan beberapa contoh mengenai cabaran dan masalah dalam pengurusan projek awam yang boleh dijadikan asas perbincangan dan rujukan kepada penjawat awam yang mengikuti kursus di INTAN dan agensi-agensi latihan Kerajaan yang lain.

Siapa yang menulis buku ini ?
Buku ini ditulis oleh sekumpulan penjawat-penjawat awam yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka semasa menjalankan tugas-tugas pembangunan dan pemantauan ke atas projek-projek yang dilaksanakan oleh kementerian/jabatan/agensi awam. Selain mengenengahkan pengalaman individu, para penulis juga telah membuat kajian, rujukan dan engagement dengan pelbagai kementerian/jabatan/agensi awam bagi mendapatkan input tambahan untuk mengesahkan lagi maklumat dan fakta berkaitan pengurusan projek awam yang terdapat di dalam buku ini.

Siapa sasaran pembaca buku ini ?
Buku ini sangat sesuai diguna pakai dan dijadikan bahan rujukan oleh:

  1. Pegawai-pegawai di Bahagian Pembangunan kementerian-kementerian/agensi awam;
  2. Peserta-peserta kursus Diploma Pengurusan Awam dan kursus Pensijilan Pengurusan Projek Awam Bersepadu anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN);
  3. Penjawat-penjawat awam;
  4. Penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta;
  5. Profesional binaan;
  6. Ahli akademik; dan
  7. Orang awam

 

Apakah ekspektasi daripada penerbitan buku ini ?

  1. Berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta meningkatkan tahap kefahaman dan kompetensi pegawai di kementerian/jabatan/agensi awam yang terlibat secara langsung dalam pelbagai bidang pengurusan projek awam;
  2. Menjadi bahan rujukan golongan akademik, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta orang awam yang berminat untuk mendalami pengetahuan dan kefahaman mengenai pengurusan projek awam;
  3. Menjadi pendorong kepada kementerian/jabatan/agensi lain untuk terus menyambung usaha menulis secara terperinci bagi bab-bab yang berkaitan dengan bidang tugas masing-masing bagi menambah khazanah sumber rujukan perkhidmatan awam; dan
  4. Memupuk budaya menulis dan mendokumentasikan pengalaman kerja untuk dikongsi dan dijadikan bahan rujukan dan panduan oleh penjawat-penjawat awam

 

Di mana buku ini boleh diperolehi ?
Buku ini dijual di Kedai Buku Institut Tadbiran Awam Negara Bukit Kiara, Kuala Lumpur atau pesanan on-line melalui portal INTAN www.intanbk.intan.my